Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 6 DISEMBER 2021: Sebanyak RM11.9 juta diperuntukkan bagi pembangunan sukan di mana RM3 juta untuk menyediakan sebuah Blueprint khusus anak muda Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang sememangnya sebuah kerajaan negeri yang sentiasa memberi pengiktirafan besar kepada anak muda dari setiap sudut dan diberi ruang secukupnya untuk turut bersama-sama menyumbang dalam pembangunan negeri ini.
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Kerajaan Negeri agar menyesuaikan pelaksanaan dasar dan program dengan jiwa generasi belia masa kini.
“Inilah komitmen saya kepada anak muda Pahang. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta untuk Akademi Sukan termasuk program e-sports,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Pahang melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) telah mewujudkan sebuah Pelan Pembangunan Sukan Prestasi Tinggi Negeri Pahang 2021-2030 yang merupakan pelan tindakan kepada pembangunan Sukan Prestasi Tinggi di negeri ini dengan tumpuan kepada dua dimensi utama iaitu memacu kecemerlangan sukan dan pemerkasaan pengurusan sukan.
“Kerajaan Negeri juga bersetuju memperuntukkan RM150,000 bagi pembinaan mini skatepark di Kuantan bagi kemudahan anak muda yang meminati sukan extreme,” katanya.
Sementara itu pada tahun 2022, Kerajaan Pahang juga memperuntukkan sebanyak RM8.7 juta yang merangkumi peruntukan tambahan bagi kejohanan Sukan Malaysia, perolehan peralatan pusat pemulihan dan rehabilitasi, perolehan senjata api untuk pasukan menembak negeri serta perbelanjaan mengurus dan penyelenggaraan di Majlis Sukan Pahang termasuk penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan sukan sedia ada bagi meningkatkan perkhidmatan infrastruktur dan pengurusan,” katanya.
“Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM1.05 juta yang merangkumi perbelanjaan mengurus dan penyelenggaraan di Majlis Sukan Pahang termasuk kerja-kerja membina baru dewan serbaguna dan berbumbung serta menaiktaraf infrastruktur sedia ada.
“Semoga dengan peruntukan pembangunan ini dapat memberikan keselesaan kepada pihak pengurusan dan atlet-atlet dalam menjalani latihan.
“Majlis Sukan Pahang juga telah merangka perancangan tempoh Jangka Panjang dengan memohon tanah seluas 24.3 ekar di Gambang bagi cadangan membina Kompleks Sukan Berprestasi Tinggi bagi memastikan perancangan pembangunan sukan negeri dapat mencapai sasaran,” katanya.
Selain itu katanya, satu Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Politeknik Muadzam Shah telah ditandatangani bagi menjadikan Politeknik tersebut sebagai pusat latihan bagi Sukan Ragbi Wanita Negeri Pahang.-PAHANGMEDIA