Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 6 DISEMBER 2021 : Bayi yang lahir pada tahun 2022 bakal menerima saguhati bernilai RM200 sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Pahang dalam berkongsi rasa syukur dan gembira ibu bapa mereka.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia dinamakan sebagai Program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid) yang bermula pada tahun depan.
“Program Pahang Pride Kid ini melibatkan pemberian bernilai RM200 untuk setiap kelahiran ini di mana ia diberikan dalam dua bentuk iaitu RM100 dalam bentuk simpanan bank dan RM100 lagi dalam bentuk barangan penjagaan bayi dan ibu sewaktu berpantang.
“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan, purata kelahiran hidup bagi Negeri Pahang tahun 2020 adalah lebih kurang 25,279 orang setahun Oleh itu, keseluruhan peruntukan untuk program ini adalah sebanyak RM5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Beliau menambah, program berkenaan adalah satu program bagi membantu para ibu bapa yang baru melahirkan mengharungi cabaran terutama dari sudut ekonomi dalam membesarkan bayi,
“Di samping itu kita bersama-sama meraikan kegembiraan mereka melahirkan cahaya mata. Ini juga adalah sebagai tanda bahawa anak yang mereka lahirkan adalah anak kebanggaan negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA