Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KKJG PERLU STRUKTUR PEMBANGUNAN TAMBAHAN UNTUK DINAIKTARAF

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
 
KUANTAN, 6 DISEMBER 2021 : Kllinik Kesihatan Jaya Gading (KKJG) memerlukan struktur pembangunan tambahan dengan keluasan tanah bersesuaian untuk dinaiktaraf bagi menampung perkhidmatan kesihatan secara optimum.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, terdapat keperluan untuk menaiktaaf KKJG daripada jenis 5 kepada jenis 3 bagi membolehkan penyediaan perkhidmatan kesihatan yang baik kepada penduduk setempat.
 
Ia juga perlu agar bersesuaian dengan jumlah kedatangan pesakit dan jenis piawaian perkhidmatan KK Jenis 3.
 
“Perkhidmatan kesihatan tambahan bersesuaian dengan KK Jenis 3 perlu ditawarkan seperti Pengimejan Diagnostik, Rehabilitasi dan makmal perubatan untuk kegunaan pesakit yang tidak disediakan di KK Jaya Gading yang sedia ada,” katanya.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Mahmud pada sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
 
Jelasnya, terdapat tujuh jenis piawaian Perkhidmatan Klinik Kesihatan (KK) di Malaysia mengikut kedatangan jumlah pesakit dan perkhidmatan yang disediakan.
 
Pembinaan KKJG pada 1991 adalah berdasarkan KK jenis 5 dengan purata kedatangan pesakit antara 100-150 orang sehari namun kini kedatangan pesakit adalah seramai 400 orang sehari iaitu setaraf dengan perkhidmatan klinik kesihatan jenis 3. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download