YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB. Datin Samsiah Arshad pada sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG BERJAYA PERCEPAT PROSES KELULUSAN TANAH MELALUI JKPSTR

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
 
KUANTAN, 6 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang berjaya mempercepatkan proses serta kelulusan permohonan tanah berperancangan bagi tujuan bangunan (kediaman) dan pertanian melalui Jawatankuasa Khas Penyelesaian Skim Tanah Rakyat (JKPSTR).
 
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 4 Ogos lalu telah bersetuju mewujudkan JKPSTR yang bertindak sebagai jawatankuasa khusus yang akan mempertimbangkan pemberimilikan tanah secara berperancangan.
 
“Sehingga November 2021, sejumlah 199 skim tanah berperancangan bagi tujuan pertanian dan 53 skim tanah berperancangan bagi tujuan bangunan (tapak rumah) telah diluluskan oleh kerajaan negeri,” katanya.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB. Datin Samsiah Arshad pada sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
 
Menjawab pertanyaan tentang pertambahan keluasan dari 3 ekar kepada 5 ekar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menjelaskan bahawa kerajaan tidak bercadang berbuat demikian kerana kerajaan berhasrat memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk memiliki tanah.
 
“Kita tahu bahawa tanah ini adalah suatu sumber yang sangat terhad, jadi jika diberi dalam kuantiti yang banyak, bilangan penerima adalah tidak ramai. Jadi kerajaan negeri memutuskan untuk mengekalkan keluasan tanah yang sama supaya lebih ramai rakyat Pahang dapat memiliki tanah,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download