Oleh : Fansurina Abdullah
KUALA LUMPUR, 25 NOVEMBER 2021 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menyempurnakan upacara penanaman pokok di perkarangan Istana Negara bersempena Mesyuarat Raja-raja.
Upacara penanaman pokok dan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama adalah cetusan idea KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena Mesyuarat Raja-Raja.
Sultan Kedah, KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah turut berkenan menyempurnakan upacara menanam pokok Rajah Kayu (Cassia Fistula) di perkarangan Istana Negara sebagai simbolik baginda mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-257 itu.
Sultan Sallehuddin turut berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU).
Mesyuarat dua hari yang bermula semalam turut melibatkan keberangkatan semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis.
Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis.
Mesyuarat Raja-Raja turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.
Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Ketua Menteri. – PAHANGMEDIA