Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 23 NOVEMBER 2021 : Percubaan pertama pasukan pantun Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Terentang di sini menyertai pertandingan pantun membuahkan hasil yang manis apabila dinobatkan sebagai johan Pertandingan Pesta Pantun Peringkat Kebangsan Sekolah Rendah 2021 baru-baru ini.
Salah seorang pemantun, adik Nurul Ain Fairuz, 12, berkata latihan setiap hari membantunya dan rakan sepasukan menemukan titik kesefahaman untuk merangkul gelaran johan.

“Kita training setiap hari, dua kali sehari. Penat memang penat, tapi bila jadi johan pertandingan, peringkat kebangsaan, rasa seronok, rasa bersyukur sangat. Latihan ini juga buatkan kita dapat bina lebih kesefahaman dengan team dan satu langkah menjadi johan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff di sekolah berkenaan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, kemenangan ini juga telah dijangka berdasarkan saingan yang dilihat mudah pada peringkat akhir pertandingan.
“Sebenarnya kita jangka boleh menang dalam pertandingan ini sebab jika dilihat pada persembahan pasukan lain, kita punya (persembahan) boleh ke depan lagi,” katanya.

Menurut guru pembimbing pasukan pemantun SK Terentang, Puan Siti Fatimah Mat Isa berkata, ini merupakan pertandingan pertama sekolah ini melibatkan kategori pantun.
“Teknik yang betul hasil didikan jurulatih, Cikgu Mohd Muzammil Ab. Rahim menyumbang kejayaan pasukan ini dari zero kepada johan,” katanya.
Sementara itu, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin mengucapkan tahniah kepada kesemua peserta pantun dan menyampaikan hadiah tablet dan wang tunai kepada kelima-lima pelajar yang turut dihadiri Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli. – PAHANGMEDIA