KUANTAN, 22 NOVEMBER 2021 : Kerajaan Pahang menzahirkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob diatas pengumuman beliau untuk mengurniakan pampasan kepada Negeri Pahang Darul Makmur kerana mempunyai peratusan hutan simpan tertinggi di Semenanjung Malaysia.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu hantaran di Facebook berkata, komitmen Kerajaan Pahang dalam mengekalkan 57 peratus khazanah alam ini sudah tentu menyebabkan implikasi kewangan yang tinggi.
Ini kerana kata beliau, ia memberikan kesan kepada pengeluaran hasil hutan dan pelbagai aktiviti ekonomi yang melibatkan penggunaan tanah.
Namun begitu, sedar akan kepentingan jangka masa panjang pengekalan hutan simpan di Malaysia, Kerajaan Pahang akan terus berusaha memelihara hutan di negeri ini untuk manfaat generasi akan datang. – PAHANGMEDIA