Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 21 NOVEMBER 2021: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melancarkan Sistem InfoBencana JKM 2.0 yang dinaik taraf bagi meningkatkan akses kepada maklumat berkaitan pengurusan bencana bawah kendalian JKM.
Majlis pelancaran sistem itu disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB. Datuk Seri Rina Mohd Harun, di Depoh Simpanan Keperluan Bencana di sini.
Turut hadir, Pengarah JKM Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin
YB. Datuk Seri Rina dalam ucapannya berkata, sistem itu merupakan aplikasi utama dalam pengumpulan dan pelaporan statistik mangsa bencana untuk kegunaan orang ramai serta pihak berkepentingan.
“Ia juga adalah antara langkah inovatif bagi menghadapi Monsun Timur Laut 2021/2022 yang bermula bulan lalu hingga Mac tahun depan, agar memberi manfaat kepada semua pihak terutama ahli Keluarga Malaysia dalam menghadapi bencana,” katanya.

Beliau berkata, antara penambahbaikan Sistem Infobencana JKM 2.0 yang dikenali sebagai Sistem Info Banjir sejak 2015, ialah penggunaan dwibahasa dan naik taraf paparan antara muka.
“Seterusnya, integrasi bersama jabatan berkaitan pengurusan bencana seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
“Selain itu, penambahbaikan modul pusat pemindahan, profil penduduk, bantuan pemulihan dan modul pengurusan stor, serta tambahan maklumat baharu seperti mengenai paras air sungai, jalan tutup dan senarai fasiliti penyimpanan bekalan,” katanya.
Beliau berkata, informasi terkini boleh diakses secara masa nyata melalui aplikasi InfoBencanaJKM dimuat turun menerusi Google Play dan Apps Store, selain laman sesawang http://infobencanajkmv2.jkm.gov.my.
Menurut JKM lagi, akses yang cepat dan mudah kepada maklumat kritikal berkaitan bencana dapat memastikan tindakan pencegahan, rawatan dan sebagainya dilaksanakan dengan lebih cekap serta berkesan, sekali gus membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan siap siaga.
Katanya, KPWKM melalui JKM menyemak dan melakukan penambahbaikan secara berterusan dengan kerjasama semua pihak, bagi memastikan sistem itu sentiasa relevan serta terkini mengikut keperluan semasa.
“Penambahbaikan yang dibuat juga memastikan data lebih tepat dapat dijana sepanjang masa bagi tujuan pengagihan bantuan, penempatan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan lain-lain,” katanya.
Dalam pada itu, KPWKM melalui JKM mengenal pasti dan menyediakan 5,693 PPS di seluruh negara yang mampu menampung 1.63 juta mangsa pada satu-satu masa.
“Bagi Pahang, 778 PPS dikenal pasti boleh menempatkan 163,875 mangsa pada satu-satu masa,” katanya. – PAHANGMEDIA