Oleh: Mahathir Ali
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2021: Liputan komunikasi di kawasan pentadbiran baharu Kerajaan Pahang iaitu bangunan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) dan kawasan persekitarannya di KOTASAS juga menjadi salah satu kawasan tumpuan yang diberi keutamaan dibawah pelaksanaan JENDELA Fasa 1.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Arif berkata, untuk tujuan itu, pihak SKMM Pahang bersama syarikat telco memberikan komitmen sepenuhnya bagi pemasangan antena dalam bangunan PPSAS sebaik sahaja pembinaan bangunan itu siap tidak lama lagi.
“Untuk makluman, bagi kawasan sekitar KOTASAS, sebanyak empat struktur telekomunikasi akan dibina di mana dua struktur di Presint 3 dan 5 telahpun siap dan 2 lagi struktur yang terletak di Presint 7 dan 2 sedang dalam peringkat awal pembinaan.
“Perkhidmatan komunikasi di PPSAS dan kawasan KOTASAS dijangka akan terus dipertingkatkan selari dengan pertambahan penduduk apabila semua pejabat kerajaan telah berpindah ke PPSAS dan lebih ramai orang mula mendiami di kawasan KOTASAS pada tahun 2022 nanti,” katanya di sini hari ini.
PPSAS ialah pusat pentadbiran baharu Kerajaan Negeri, yang menggantikan Wisma Sri Pahang yang telah berusia lebih 50 tahun (sejak 1967).
PPSAS menjadi ikon terbaharu negeri ini dengan bentuk bangunan kompleksnya diinspirasikan daripada jata Negeri Pahang dan mengaplikasikan teknologi hijau demi penekanan pemeliharaan alam sekitar. – PAHANGMEDIA