Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 17 NOVEMBER 2021 : Kesemua warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuantan telah menandatangani ikrar bebas rasuah semalam
Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah berkata majlis ini merupakan kali kedua dijalankan oleh PDT Kuantan.
“Tandatangan ini merupakan pembaharuan semula ikrar yang telah ditandatangani oleh warga PDT Kuantan dua tahun lepas pada 2019.

“Ikrar ini bagi memastikan ia menjadi penanda aras agar semua warga PDT komited dan bertanggungjawab di dalam pelaksanaan tugasan harian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Perhimpunan Pagi dan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Peringkat Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan di Dewan Pahang Skills Development Centre di sini.
Turut hadir merasmikan majlis, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pahang, Tuan Hairuzam Amin@Hamim.
Menurut beliau lagi, ikrar ini merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh pihak SPRM bagi memastikan semua pihak lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.
“Ini merupakan bukti keseriusan PDT Kuantan dalam memastikan warga PDT Kuantan sentiasa bersih dan bebas rasuah,” katanya.
Dalam majlis yang sama, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza dan Tuan Hairuzam turut memotong reben bagi gimik pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) 2021 hingga 2025.
Pelan OACP ini dibangunkan selaras dengan Pelan Anti Rasuah Negara (NACP) 2019 hingga 2023. – PAHANGMEDIA