YAB. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN MENANG ANUGERAH WHO, BANTU GOLONGAN RENTAN KETIKA COVID-19

KUANTAN, 16 NOVEMBER 2021: Kuantan menerima anugerah daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkaitan usaha membantu golongan rentan bandar yang terkesan dengan wabak pandemik COVID-19.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, anugerah dimenangi dan diumumkan oleh WHO baru-baru ini ialah di bawah kategori ‘Reaching and engaging vulnerable groups for their care and protection during COVID-19 pandemic’.

Beliau juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pimpinan Dato’ Bandar, Dato’ Hamdan Hussin atas kejayaan itu.

“Kuantan antara tujuh bandar raya seluruh dunia yang memenangi anugerah pelbagai kategori anjuran WHO. Ia juga ialah satu daripada dua bandar raya di negara ini selain Kuching, yang memenangi anugerah-anugerah berkenaan.

“Kuching memenangi anugerah Pengiktirafan Khas (Special Recognition) Bandaraya Sihat manakala yang lain – Songpa, Korea Selatan bagi kategori berkaitan Pencemaran Udara (Air Pollution); Shangrao, Republik Rakyat China mengenai Penuaan Sihat (Healthy Ageing);

“Gangdong, Korea Selatan tentang Makanan Berkhasiat (Nutrition); Obu, Jepun berkenaan Ketidakaktifan Fizikal (Physical Inactivity); dan Baguio, Filipina berhubung aspek Bebas Asap (Smoke Free),” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, kejayaan Kuantan meraih anugerah ini susulan usaha MBK melaksanakan projek kemanusiaan dikenali Kuantan Prihatin Ke atas Kumpulan Rentan Bandar yang memberi keutamaan terhadap tiga golongan rentan di bandar raya ini.

Katanya, golongan-golongan rentan ini ialah miskin tegar, golongan sasaran berpendapatan rendah B-40 khususnya yang menyewa di sebuah kawasan perumahan, serta golongan rentan yang tinggal di pusat bandar raya.

Seramai 11,625 orang dalam kalangan mereka dibantu iaitu 6,679 orang penerima bantuan makanan; 2,179 orang penerima bantuan kewangan; 1,907 orang penerima kemudahan kesihatan; 730 orang penerima pendidikan, 75 orang penerima peluang pekerjaan dan 55 orang penerima penginapan.

MBK dapat menjayakan projek ini hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC), serta pelbagai pihak termasuk badan-badan bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat perniagaan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Rakyat Pahang boleh mengemukakan sebarang cadangan dan pandangan mengenai belanjawan ini di laman portal https://esurvey.pahang.gov.my/print_esurvey.php?soal_id=254 agar Kerajaan Negeri dan rakyat dapat seiring dalam membangunkan negeri ini secara bersama.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download