Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
BENTONG, 06 NOVEMBER 2021 : Satu pelan menyeluruh telah dirancang bagi membangunkan semula kesemua rumah yang musnah akibat kebakaran di Kampung Baru Karak di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Semula Rumah Kampung Baru Karak, YH. Dato’ Sri Liow Tiong Lai berkata namun demikian pihaknya meminta sedikit kelonggaran diberikan bagi melancarkan pembinaan semula ini.
“Kita dah ada satu pelan menyeluruh untuk membangunkan rumah-rumah mereka. Tapi memandangkan ini kawasan tanah Kampung Baru, tanahnya terhad, keluasan terhad, ia tidak dapat memenuhi kesemua syarat.
“Kalau kita kata perumahan, dia ada banyak syarat tapi Kampung Baru tidak dapat memenuhi semua tapi kita akan pastikan ia memenuhi syarat-syarat yang penting untuk keselamatan dan keselesaan penduduk.

“Itu tidak boleh dikompromi. Yang lain kita akan pastikan mematuhi semua syarat-syarat minima by law untuk membangunkan semula (kawasan yang musnah akibat kebakaran),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat mangsa kebakaran di Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB) di Kampung Baru Karak.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat menyantuni mangsa kebakaran semalam.
Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda dan Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohd Zulkifli Hashim.
Beliau berkata, sekiranya kelonggaran dapat diberikan bagi pembangunan semula kawasan terjejas ini, beliau menjangkakan kawasan ini dapat dibina semula menjelang awal tahun hadapan
“Sebab itu saya telah mencadangkan kepada Kerajaan Negeri dan agensi-agensi berkaitan untuk memohon kelonggaran, memohon pengecualian sesetengah syarat, bukan semua syarat agar pembinaan dapat berjalan lancar.
“Dan sekiranya mendapat kerjasama dan juga bantuan daripada agensi berkaitan, kita dapat bangunkan projek ini atau pun perumahan ini seawal tahun depan.
“Ini yang mereka (mangsa kebakaran) harap-harapkan, kerana mereka perlukan rumah, di mana sekarang mereka tinggal di rumah saudara-mara, memang susah dengan keadaan COVID-19 dan pandemik yang ada sekarang, kita kesian kepada penduduk-penduduk, mangsa kebakaran ini,” katanya.
Tambah beliau lagi, reka bentuk rumah baharu yang akan dibina juga akan diselaraskan bagi kesemua 48 buah rumah bagi memudahkan kelulusan pembinaan.
Sebanyak 51 buah rumah dan lapan premis perniagaan telah musnah di dalam kejadian kebakaran yang berlaku 1 Oktober lepas. -PAHANGMEDIA