YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada seorang penerima semalam.

PENGUSAHA RUMAH RAKIT TAMAN NEGARA GEMBIRA TERIMA LPS

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

JERANTUT, 3 NOVEMBER 2021 : Seramai 15 orang pengusaha rumah rakit di tebing sungai di Taman Negara, Kuala Tahan menzahirkan rasa gembira dan bersyukur selepas menerima Lesen Pendudukan Sementara (LPS).

Lebih 25 tahun mengusahakan rumah rakit, Puan Wan Jamaliatun Akma Wan Ahmad, 47, berterima kasih dan gembira dengan pemberian LPS oleh kerajaan negeri.

Puan Wan Jamaliatun Akma Wan Ahma

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas keprihatinan YAB Menteri Besar Pahang yang mengambil berat tentang pengusaha-pengusaha rakit di sini.

“Lebih menggembirakan Dato’ Sri Haji Wan Rosdy meluluskan bantuan sebanyak RM2,000 kepada setiap pengusaha untuk baiki rumah rakit yang mengalami kerosakan.

“Rumah rakit inilah yang menjadi punca pendapatan kami untuk menyara keluarga dan lesen yang diberikan mengembalikan semangat kami selepas dua tahun tidak dapat berniaga akibat wabak COVID-19,” katanya.

Puan Wan Hanizah Wan Ahmad

Bagi Puan Wan Hanizah Wan Ahmad, 50, turut menghargai LPS yang diterima dan berharap agar dapat berniaga kembali seperti biasa.

“Berniaga di sini memang mengharapkan kedatangan pengunjung ke Taman Negara kerana itulah punca pendapatan kami.

“Sejak wabak melanda memang kami terus kehilangan punca pendapatan, tapi Alhamdulillah Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan keadaan kami di sini,” katanya.

Puan Nor Faezah Mohd Ripa

Seorang lagi pengusaha, Puan Nor Faezah Mohd Ripa, 37, dan suaminya, Encik Mohd Sukri Husain, 42, menghargai usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri buat mereka.

“Kami kini lebih bersemangat untuk menjalankan kembali perniagaan apabila pelancong mula masuk ke sini. Kami juga sangat berterima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang kerana meluluskan bantuan RM2,000 kepada setiap pengusaha.

“Kami perlu baiki rumah rakit masing-masing sebab banyak rosak selepas ditinggalkan agak lama dan selalunya memang setiap tahun rumah rakit perlu dibaiki kerana rosak akibat air pasang surut,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download