Kakitangan MUIP mengagihkan bantuan kepada semua golongan termasuk Orang Asli
MUIP AGIH BANTUAN KEPADA MASYARAKAT ORANG ASLI DI RAUB
Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 28 OKTOBER 2021 : Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) meneruskan pengagihan bantuan kepada semua golongan masyarakat termasuklah Orang Asli.
Pengagihan bantuan tahunan tersebut telah dilaksanakan oleh MUIP Daerah Raub yang berkunjung ziarah kepada penerima di Kampung Orang Asli Sungai Ara, Batu Balong, Sungai Yol dan Sungai Susup di Raub.
Menerusi satu hantaran di laman rasmi Facebook MUIP, katanya, kesemua bantuan tahunan ini diberikan kepada masyarakat Orang Asli yang terdiri daripada Muslim bertujuan membantu umat Islam menangani kesukaran yang dilalui ketika ini.
Bantuan tersebut diharap dapat memberi manfaat dan meringankan beban yang ditanggung masyarakat itu ketika pandemik COVID-19 yang mengakibatkan kebanyakan mereka kehilangan punca pendapatan kerana tidak dapat keluar bekerja.
MUIP sentiasa prihatin dan mengambil berat isu penduduk di Pahang terutama ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila telah mengagihkan lebih RM29.3 juta bantuan kepada penerima secara bersasar sehingga 31 Ogos 2021.
Pengagihan bantuan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan umat Islam di negeri ini terbela terutama dari segi keperluan asas mereka. – PAHANGMEDIA