YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2020 di negeri ini oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Yayasan Pahang di Kompleks Yayasan Pahang hari ini.
PAHANG ANJUR ANUGERAH INTEGRITI, GOVERNANS DAN ANTIRASUAH JULUNG KALI DI MALAYSIA
Oleh : Fairus Mohd Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 26 OKTOBER 2021 : Penganjuran Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2020 di negeri ini oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Yayasan Pahang menyaksikan usaha dan inisiatif meningkatkan integriti dalam setiap organisasi dilaksanakan secara serius.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang sentiasa mengalu-alukan program sebegini walau isu integriti dan rasuah masih berada dalam keadaan terkawal.
“Bagi pihak Kerajaan Pahang kita menyeru supaya program ini dapat dilaksanakan di peringkat Kebangsaan pula kerana ia adalah perkara yang sangat bagus.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail
“Integriti main peranan penting seperti apa yang saya cakap di mana ada berlaku sedikit kebocoran dan ketirisan dalam State GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) dan apabila kita bendung, kita tanam integriti dan laksanakan governance kita dapati hasilnya GLC ini dapat menyumbang (kepada kerajaan negeri) dari asalnya zero (kosong).
“Bermula tahun 2019, apabila dapat diurus dengan baik, kewangan dapat salur balik kepada rakyat semula.. sebagai contoh ketika COVID-19 melanda, Negeri Pahang paling banyak kenakan PKPD dan kita dapat bantu rakyat terkesan kerana kedudukan kewangan negeri kita berada dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis anugerah tersebut di Dewan Utama, Kompleks Yayasan Pahang hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia, YBhg. Tan Sri Mohd Zuki Ali; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH Dato’ Mahmud Mohd Nawawi serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, program sebegini dilihat mampu membendung perbuatan tidak diingini seperti rasuah daripada terus berlaku.
“Berdasarkan rekod lima tahun lepas sektor swasta catat 17 peratus kes berkaitan integriti seperti rasuah manakala sektor awam sebanyak 63 peratus.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika sidang media selepas Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2020 di negeri ini oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Yayasan Pahang di Kompleks Yayasan Pahang hari ini.
“Ini agak membimbangkan tapi kita dapati punca berlakunya kepincangan itu adalah kerana kelemahan dalam pentadbiran, dalam perolehan atau dari segi penguatkuasaan. Dengan ada program seperti ini sudah pasti dapat kawal atau dapat kurang gejala rasuah sekaligus meningkatkan integriti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa kelemahan itu mungkin tidak mampu diatasi secara sepenuhnya namun penambahbaikan dapat dilakukan melalui usaha memberi kesedaran secara berterusan.
“Kadang-kadang pekerja atau pegawai bermula kerja dengan baik tapi sebab ada peluang atau sistem yang longgar mendorong mereka buat perubatan yang merugikan kerajaan atau di organisasi yang mereka berkhidmat.
“Jadi kita harus fikir satu cara iaitu seperti AIGA ini untuk bendung rasuah yang dilakukan oleh kakitangan atau pekerja. Saya yakin dengan adanya program sebegini dapat meminimakan gejala rasuah dan meningkatkan integriti,” katanya. -PAHANGMEDIA