Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 26 OKTOBER 2021 : Kerajaan Pahang menghargai peranan media konvensional dan media baru dalam menyalurkan maklumat kerajaan kepada rakyat di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan media menerusi pemberitaan itu dapat membantu dan memberikan maklumat yang berguna kepada pembangunan negeri ini.
“Memang kerjasama antara Kerajaan Pahang dengan media di negeri ini sangat baik. Berita yang dibuat kebanyakkannya membantu pembangunan negeri ini.
“Terima kasih kepada semua pengamal media di Pahang,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Media Darul Makmur 2021 di Hotel Grand Darul Makmur, di sini malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Arif; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin dan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, YH. Dato’ Abdul Wahab Mohamad Ali.
Majlis itu turut menekankan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi menyekat penularan COVID-19.
Selain jamuan makan malam, majlis turut diserikan dengan cabutan bertuah dan persembahan nyanyian.
Sehubungan itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdyberkata, majlis berkenaan diadakan dalam usaha mengeratkan silaturahim antara kerajaan negeri dan pengamal media.
“Saya gembira kerana mendapat kerjasama baik dengan pengamal media Pahang dan majlis ini akan dijadikan acara tahunan,” katanya. – PAHANGMEDIA