YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Perasmian Karnival PenjanaKerjaya Negeri Pahang Darul Makmur 2021 di Wisma Perkeso.
3,800 PELUANG PEKERJAAN DITAWARKAN SECARA ATAS TALIAN
Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 23 OKTOBER 2021 : Sebanyak 3,800 peluang pekerjaan ditawarkan kepada rakyat negeri ini dalam Karnival Penjana Kerjaya Negeri Pahang Darul Makmur 2021.
Karnival anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusinya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Kerajaan Negeri ini berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Perasmian Karnival PenjanaKerjaya Negeri Pahang Darul Makmur 2021 di Wisma Perkeso.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Pahang juga telah memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM30,000 bagi tujuan ini.
“Bagi memastikan program yang julung kalinya diadakan dalam talian ini turut dapat diakses oleh pencari kerja di luar bandar, Kerajaan Negeri telah beri peruntukan tambahan RM30,000 kepada PERKESO Negeri.
“Peruntukan tambahan ini ialah bagi mengatur koordinasi kepada peserta yang hadir menerusi 13 buah Pusat Internet Komuniti (PIK) terpilih di seluruh Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival PenjanaKerjaya Negeri Pahang Darul Makmur 2021 di Wisma Perkeso.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail
Turut hadir, Pegarah PERKESO, Encik Tarmizi Mukhtar; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.
Beliau berkata sejak 1 Januari sehingga 15 Oktober lepas, sebanyak 737 orang iaitu 1.38 peratus telah kehilangan pekerjaan di negeri ini berdasarkan Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara MYFutureJobs.
“Berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara MYFutureJobs, seramai 53,213 orang di seluruh negara, telah kehilangan pekerjaan sejak 1 Januari 2021 sehingga 15 Oktober lepas.
“Bulan Mac mencatatkan jumlah kehilangan tertinggi di negeri ini iaitu 111 kes, manakala tiga sektor dengan jumlah kehilangan tertinggi pula ialah sektor pembuatan (191 kes), sektor pemborongan dan peruncitan (175 kes) dan sektor penginapan dan makanan dan minuman (81 kes),” katanya.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Perasmian Karnival PenjanaKerjaya Negeri Pahang Darul Makmur 2021 di Wisma Perkeso.
Menurut beliau lagi, sebanyak 134 temuduga telah dilaksanakan sehingga 23 Oktober lepas melibatkan 51,000 kekosongan jawatan di negeri ini.
“Sehingga 23 Oktober 2021, lebih 134 aktiviti temuduga telah dilaksanakan dan sekurang-kurangnya 51,000 kekosongan jawatan direkodkan bagi membantu lebih 27,000 pencari kerja yang berdaftar di Portal MYFutureJobs Negeri Pahang.
“Sekurang-kurangnya 1,000 pencari kerja warga tempatan termasuk golongan lepasan universiti dan penganggur, dijangka mengambil bahagian pada karnival ini.
“Namun tak semestinya 737 individu yang kehilangan kerja ini akan kerja secara automatik kerana ada bidang yang ditawarkan tidak sesuai dengan mereka,” katanya.
Pendaftaran untuk menyertai Karnival Penjana Kerjaya Negeri Pahang Darul Makmur 2021 ini dapat dilakukan menerusi pautan https://bit.ly/KarnivalKerjayaMelaluiPIK2021. -PAHANGMEDIA