Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah Diraja pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1443 Hijrah Bersamaan 2021 Masihi hari ini.

SEMUA PIHAK DITITAH BERSATU HATI MENGHADAPI PANDEMIK COVID-19 – KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 19 OKTOBER 2021 : Semua pihak dititah supaya bersatu hati agar musibah akibat pandemik COVID-19 ini dapat diatasi dengan secepat mungkin.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1443 Hijrah Bersamaan 2021 Masihi.

Baginda bertitah demikian memandangkan negara ini berada dalam Fasa Pemulihan daripada pandemik yang telah melanda selama dua tahun ini.

“Ujian getir ini telah memberi impak yang bukan sedikit kepada individu, keluarga, dan masyarakat, bukan sahaja dalam aspek ekonomi dengan ramainya rakyat yang kehilangan pekerjaan serta mata pencarian, tetapi juga daripada aspek kesihatan mental.

“InsyaAllah segala kesabaran kita dalam mengharungi waktu-waktu sulit ini, akan ada hasilnya. Semua pihak bermula daripada atas sehinggalah ke bawah, mestilah bekerja keras dalam proses pemulihan negeri dan negara kita,” titah baginda.

Baginda turut bertitah semua pihak terus bermunajat dan berusaha daripada sudut kerohanian agar musibah ini lenyap.

“Di samping itu, usahlah kita berhenti daripada terus bermunajat dan berusaha daripada sudut kerohanian, bagi memohon ke hadrat Allah SWT, agar musibah yang ada terus lenyap dari negeri dan negara kita, seperti dengan berdoa, melaksanakan solat hajat dan membaca Qunut Nazilah.

“Saya bertitah agar semua pihak tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit mahupun fahaman politik, perlu bersatu hati agar musibah yang kita hadapi ini dapat diatasi dengan segera,” titah baginda.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhammad; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; dan bariasan exco Kerajaan Negeri. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download