Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
TERIMA KASIH PETUGAS KESIHATAN – PEMANGKU RAJA PAHANG
Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib Foto: Mahathir Ali
KUANTAN, 21 MAC 2020: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas kesihatan yang bertungkus-lumus merawat pesakit COVID-19.
Baginda berdoa kepada Allah SWT agar petugas kesihatan diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik supaya dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pegawai perubatan dan warga kerja hospital, klinik kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang serta pejabat kesihatan daerah seluruh Pahang yang sentiasa bertungkus lumus merawat pesakit COVID-19.
“Saya juga menasihatkan para petugas kesihatan untuk sentiasa menjaga keselamatan diri dan pengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengelak daripada terkena jangkitan COVID-19,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam Titah Diraja kepada semua pegawai perubatan dan warga kerja hospital, klinik kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dan pejabat kesihatan daerah di seluruh Negeri Pahang hari ini. – PAHANGMEDIA