Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
CAMERON HIGHLANDS, 13 OKTOBER 2021 : Kerajaan Negeri menerima 250 buah tablet Huawei Matepad T10 daripada syarikat Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd (Huawei).
Majlis penyerahan dilakukan oleh Naib Presiden Sumber Manusia Huawei Malaysia, Encik Choh Yau Meng kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada majlis ringkas yang berlangsung sebelum Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, tablet berkenaan akan diserahkan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan bagi tujuan pendidikan.
Hadir mengiringi, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin serta barisan Exco Negeri Pahang.
Sementara itu Huawei dalam satu kenyataan berkata, sebagai peneraju teknologi dan pemimpin industri telefon pintar Huawei tidak hanya meletakkan komitmen dalam membantu revolusi teknologi Malaysia.
Huawei Malaysia bukan sahaja komited dalam membangunkan teknologi di Malaysia, tetapi juga bagi membantu pembangunan anak muda di negara ini melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan.
Usaha ini akan merealisasikan matlamat melahirkan masyarakat berpendidikan yang progresif dan inklusif, serta merancakkan ekonom digital. – PAHANGMEDIA.