Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 12 OKTOBER 2021 : Kebenaran merentas negeri yang bermula semalam menyaksikan orang ramai berpusu-pusu mengambil peluang untuk balik kampung dan bercuti.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, situasi sama berlangsung di negeri ini apabila lebih ramai orang masuk untuk pulang ke kampung halaman masing-masing serta melancong.
“Keadaan sekarang membuka risiko jangkitan atau penularan COVID-19 yang lebih luas jika kita semua tidak mengamalkan SOP yang ditetapkan.
“Saya ingin ambil kesempatan untuk menyeru kepada mereka yang belum mengambil vaksin lagi supaya memberi kerjasama tampil ke hadapan kerana ini untuk kemudahan mereka juga, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Transfomasi Pendidikan Pahang serta penyampaian insentif kecemerlangan STPM 2020 dan Bantuan Prihatin Pahang untuk operator, pekerja kantin, dewan makan dan rancangan makanan tambahan (RMT) di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata keperluan dua dos di banyak tempat seperti restoran, kedai-kedai makan, rentas negeri dan pelbagai lagi termasuk masuk ke pusat membeli belah.
“Jadi apa masalahnya (ambil vaksin), kita jangan menyusahkan diri. Kita pun tidak mahu mereka (yang tak ambil vaksin) ini menjadi carrier (pembawa wabak) kepada orang lain.
“Kerajaan juga sudah mengkaji sehabis baik untuk memastikan mereka ini yakin dengan dos suntikan..sebab itulah saya jadi sebagai orang pertama di negeri ini (ambil suntikan), di peringkat persekutuan, perdana menteri ketika itu jadi orang pertama diikuti ketua-ketua Jabatan untuk meyakinkan mengenai kepentingan mengambil vaksin,” katanya.
Katanya lagi, ia adalah satu bentuk keyakinan bahawa suntikan vaksin ini adalah penting dan membawa faedah kepada semua. -PAHANGMEDIA