Oleh: Jannah Kamarulzaman
KUANTAN, 8 OKTOBER 2021: Orang ramai menyambut baik langkah kerajaan membenarkan Pahang beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula hari ini.
Hasil tinjauan mendapati rata-rata orang ramai melahirkan rasa teruja, namun tetap akan sentiasa berwaspada dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan.

Seorang peniaga di Tanjung Api di sini, Puan Noor Azliha Saidi, 33, berkata, dia menjangkakan kehadiran pengunjung akan lebih meriah pada hari minggu susulan orang ramai berikutan pengumuman kerajaan ini.
“Rasa lega dengan pengumuman kerajaan baru-baru ini diharap pengunjung yang akan datang nanti dapat mengikuti SOP yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.
Bagi peniaga ikan, Encik Mohd Sharon Irwan Jusoh, 39, dengan peralihan fasa ini beliau berharap lebih banyak sektor dapat dibuka dan orang ramai dapat menjaga SOP yang ditetapkan.
“Walaupun kita dalam Fasa 4, tetapi dalam masa yang sama masih bimbang disebabkan kes baharu COVID-19 yang masih tinggi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga kedai makan, Encik Wan Mohd Nazri Saidi, 28, berkata, beliau berharap dengan kelonggaran SOP dalam Fasa 4, ia sedikit sebanyak dapat membantu kestabilan perniagaannya yang telah terjejas sebelum ini.
“Saya juga akan sentiasa memastikan pekerja dan pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan berharap pelanggan dapat memberi kerjasama bagi mengelakkan kes COVID-19 ini kembali meningkat,” katanya.
Selepas Labuan dan Negeri Sembilan, Pahang menjadi negeri ketiga beralih kepada fasa terakhir, Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa hari ini.
Menteri Kanan Pertahanan, YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang turut memutuskan negeri Johor beralih daripada Fasa 2 ke Fasa 3. – PAHANGMEDIA