Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
LIPIS, 6 OKTOBER 2021 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyantuni rakyat di Agropolitan Gahai dan Kampung Tanjung Gahai pagi ini.
Dalam kunjungan itu, Kebawah Duli Tuanku berkenaan mengurniakan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 12 buah keluarga asnaf.
Baginda diiringi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain; Pegawai Daerah Lipis, YH Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim serta Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor.

Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menjunjung kasih di atas keberangkatan KDYMM Pemangku Raja Pahang yang sudi bercemar duli berangkat ke Kampung Tanjung Gahai dan Agropolitan Gahai.
“Hari ini saya berkesempatan membawa Tuanku menjelajah (kawasan berkenaan) di mana Tuanku dapat melihat dan meninjau sendiri keadaan penduduk di sini.
“Tuanku nampak gembira kerana Agropolitan Gahai ni asalnya mereka yang tidak ada rumah, tapi atas keprihatinan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan ketika itu telah menyediakan peruntukan (tanah dan kewangan) di mana penduduk yang kurang bernasib baik telah dapat dipindahkan ke situ. Rumah diberikan secara percuma dan ada ladang getah seluas enam ekar sebagai sumber pencarian mereka,” katanya.
Dalam pada itu, YB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Tuanku juga telah menjelajah ke sekitar Kampung Tanjung Gahai di mana sebelum tahun 2008, hanya sungai menjadi jalan perhubungan iaitu dengan menggunakan feri atau boya.
Katanya lagi, pada tahun 2008 jambatan telah siap dibina bagi kemudahan rakyat di kawasan ini.
“Sekali lagi sebagai wakil rakyat (Ahli Dewan Negeri) Jelai, saya berterima kasih kepada tuanku yang sudi bercemar duli ke sini.
“Terima kasih juga kepada Pegawai Daerah, JKKK serta kepada semua penduduk kampung yang terlibat secara langsung sempena keberangkatan Tuanku ke daerah ini. Apa yang penting rakyat dapat bersama-sama Tuanku hari ini,” katanya. -PAHANGMEDIA