Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan sebanyak RM29,331,188 bantuan COVID-19 kepada penerima secara bersasar sehingga 31 Ogos lalu.

MUIP AGIH RM29,331,188 BANTUAN KHAS COVID-19

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 4 OKTOBER 2021 : Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan sebanyak RM29,331,188 bantuan COVID-19 kepada penerima secara bersasar sehingga 31 Ogos lalu.

Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang, YH. Dato’ Halidan Md Daud berkata, bantuan zakat merupakan fokus utama ketika pandemik COVID-19 di mana sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan pada 18 Mac 2020.

“Pada April 2020, sebanyak RM14.2 juta telah dikeluarkan untuk menyalurkan bantuan kepada seramai 84,000 orang dan sehingga 31 Ogos 2021 sejumlah RM29.3 juta bantuan COVID-19 telah dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perkongsian Operasi Zakat dan Pelancaran Resit Digital Bayaran Zakat yang diadakan secara maya menerusi aplikasi zoom.

Menerusi perkongsian itu, jumlah bantuan telah diberikan menerusi sepuluh bentuk agihan termasuklah agihan kepada asnaf fakir miskin, agihan melalui e-asnaf, agihan kepada gelandangan, agihan kepada bilal dan siak bagi masjid kariah serta agihan kepada guru briged penceramah, Kafa dan sekolah persendirian.

Bantuan juga turut diagihkan kepada pusat-pusat kuarantin, agihan kepada tenaga pengajar maahad tahfiz, madrasah dan pondok, agihan keperluan asas isi rumah, agihan kepada masjid (dapur zakat) dan agihan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Kesemua agihan bantuan ini dapat diberikan kerana kutipan zakat yang semakin meningkat meski pun ketika perlaksanaan PKP sejak 2020.

Berdasarkan rekod oleh PKZ Pahang, kutipan zakat harta telah meningkat sebanyak 10.3 peratus menjadi RM158.2 juta berbanding 2019 dengan RM143.4 juta manakala jumlah pembayar zakat juga bertambah sebanyak 3.7 peratus atau 3,033 orang ketika pandemik. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download