Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 30 SEPTEMBER 2021 : Meskipun sibuk menghantar makanan hampir setiap hari kepada pelanggan, namun Encik Mohd Akmal Azhar, 36, akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Kedoktoran (PhD) yang diimpikan sejak empat tahun lalu.
Bagi pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Teknologi Farmaseutikal, Universiti Malaysia Pahang (UMP) ini, tidak pernah terniat di hatinya untuk menarik perhatian ramai dengan kejayaan yang dicapai.

“Saya hanya berkongsi kegembiraan (berkongsi gambar di grup WhatsApp) apabila usaha selama empat tahun menyiapkan tesis berjaya diselesaikan.
“Pada asalnya rasa tidak selesa apabila kisah ini mula tular dan beranggapan ia mungkin dapat memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya satu kenyataan yang disiarkan di dalam laman web Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Berkongsi cerita lanjut, Encik Mohd Akmal berkata, peluang menambah pendapatan dengan menjadi penghantar makanan muncul ketika pandemik COVID-19 melanda, tahun lalu.
“Pada tiga tahun pertama saya sememangnya fokus dalam tugasan di makmal melibatkan kajian berkaitan penghasilan produk probiotik dalam bentuk tablet yang mempunyai ketahanan dari asid dalam perut.
“Pada tahun keempat pula, saya mula dalam penulisan tesis dan memandangkan pada waktu itu negara dilanda pandemik COVID-19, justeru saya memilih untuk bekerja di waktu siang sebagai penghantar makanan untuk menambah pendapatan di samping menyiapkan penulisan tesis pada waktu malam,” katanya.

Dalam pada itu, kejayaan Encik Mohd Akmal turut menarik perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan menerima mengadapnya di Istana Abdulaziz, semalam.
Baginda berharap agar iltizam dan semangat yang ditunjukkan oleh Encik Mohd Akmal menjadi contoh serta teladan terbaik kepada masyarakat khususnya mahasiswa di universiti.
Kebawah Duli Tuanku turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada Encik Mohd Akmal atas kecekalan dan kejayaan beliau menyiapkan tesis pengajian dengan sempurna. – PAHANGMEDIA