YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Raub 2035 (Penggantian) di Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Raub.

KERAJAAN PAHANG GARIS 21 HALA TUJU PEMBANGUNAN BAGI DAERAH RAUB SEHINGGA 2035

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

RAUB, 27 SEPTEMBER 2021 : Kerajaan Pahang menggariskan 21 hala tuju pembangunan bagi memandu perancangan daerah ini sehingga tahun 2035.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebanyak 130 projek dan inisiatif turut dicadangkan melibatkan tiga fasa perancangan untuk dibangunkan dalam tempoh ini.

“Sebanyak 130 projek dan inisiatif juga dicadang dibangunkan dalam tiga fasa perancangan iaitu 23 Projek Quick Win, 15 Projek Berimpak Tinggi dan 92 Projek Sokongan menjelang tahun 2035.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Sebahagian besar kawasan perhutanan Daerah Raub terdiri daripada Hutan Simpanan Kekal dan memenuhi fungsi-fungsi tertentu seperti hutan tadahan air, hutan perlindungan tanah, taman eko rimba, rezab hidupan liar dan Central Forest Spine (CSF).

“Daripada segi biodiversiti, Daerah Raub mempunyai beberapa spesies flora dan fauna yang jarang dijumpai yang antaranya, Rafflesia atau nama tempatan ‘Bunga Pakma’ yang ditemui di Kampung Ulu Dong dalam Hutan Simpanan Kekal Gunung Benum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Raub 2035 (Penggantian) di Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Raub di sini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Raub 2035 (Penggantian) di Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Raub.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Ketua Pengarah PLANMalaysia, YBrs. Dr. Shamsaini Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab Moin.

Beliau berkata daerah Raub juga turut memiliki tarikan pelancongan tanah tinggi serta kemudahan perhubungan selain daripada biodiversiti.

“Selain itu, Daerah Raub juga memiliki tarikan pelancongan tanah tinggi iaitu Bukit Fraser yang terkenal sebagai Little England.

“Usaha membangunkan kemudahan Central Spine Road (CSR) pakej Raub-Bentong sepanjang 50km, mampu meningkatkan lagi tahap aksessibiliti dan sistem perhubungan kawasan Daerah Raub dengan kawasan-kawasan lain di sekitarnya,” katanya.

Menurut beliau lagi, Rancangan Tempatan Daerah Raub merupakan salah satu bentuk dokumen perundangan bertulis yang dijadikan panduan bagi kawalan perancangan di Semenanjung Malaysia.

“Difahamkan, program ini telah bermula pada 22 September 2021 dan akan berakhir pada 21 Oktober 2021. Dalam tempoh sebulan ini, orang ramai boleh memuat turun laporan dan borang maklumbalas secara atas talian.

“Tujuan utama Program ini ialah untuk memberi pemahaman dan peluang kepada semua pihak terutamanya penduduk Raub untuk menyemak, meneliti dan memberi maklum balas ke atas kandungan Laporan Draf Rancangan Tempatan Daerah Raub, Pahang 2035 (Penggantian) yang telah disediakan.

“Penggantian Rancangan Tempatan Daerah Raub, Pahang 2035 memberi peluang kepada Majlis Daerah Raub untuk menggubal hala tuju perancangan baharu bagi mencapai status Majlis Perbandaran pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menyarankan semua pihak yang ingin memberi pandangan dan cadangan terhadap Draf Rancangan Tempatan Daerah Raub, Pahang 2035 (Penggantian) ini supaya mengemukakan pandangan dan cadangan tersebut kepada Majlis Daerah Raub dalam tempoh ditentukan.

“Selain Draf Rancangan Tempatan Daerah Raub, Pahang 2035 (Penggantian) ini, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sedang dalam proses penyediaan Rancangan Kawasan Khas Pemeliharaan dan Pelancongan Bukit Fraser, Raub Pahang yang dijadualkan bermula tahun 2022.

“Dengan adanya Rancangan Kawalan Khas ini, ia akan saling-melengkapi kepada Rancangan Tempatan Daerah Raub seterusnya dapat mengemas-kinikan lagi aspek memajukan Daerah Raub keseluruhannya,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download