Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
TEMERLOH, 27 SEPTEMBER 2021 : Kesusahan yang ditanggung bapa kepada Nurul Aleeya Natasha Kamarul Isham, 18, yang hanya bekerja sebagai penoreh getah membakar semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh apabila dia terpilih untuk menerima dermasiswa berupa tajaan penuh bagi menyambung pengajiannya.
Nurul Aleeya Natasha merupakan anak kedua dari lima beradik telah ditawarkan Diploma in Occupational Safety and Health (DOSH) di Universiti Automotif DRB-Hicom dengan keseluruhan yuran pengajian berjumlah RM42,000 ditanggung penuh oleh pihak DRB-Hicom.
“Saya bersyukur kerana dapat ringankan beban ibu bapa saya untuk membiayai yuran pengajian saya sebab mereka nak bayar pengajian adik saya yang lain dan saya bersyukur sangat,” katanya.
Seorang lagi penerima, Nurul Asyura Saiful Hisham, 18, yang merupakan anak ketiga dari lapan beradik, juga berhadapan situasi sama apabila bapanya menyara keluarga dengan menoreh getah.
“Dengan mendapat tajaan ini saya harap dapat belajar dengan bersungguh-sungguh tanpa membebankan ibu bapa saya sebab mereka pun kerja tak tetap terutama ketika PKP,” katanya.
Manakala bagi Mohamad Aqwan Hakim Azri, 18, beliau berharap dengan tajaan penuh yang diterima dapat meringankan bebanan keluarga apabila kedua ibu bapanya merupakan petani.
“ Saya harap tajaan ini dapat meringankan beban keluarga untuk saya sambung belajar,” katanya.
Mohamad Aqwan Hakim juga berhasrat untuk membanggakan ibu bapanya dan ingin membantu mengubah nasib keluarganya dengan belajar bersungguh-sungguh.
Bagi Nur Ayuni Shamsul Baharin, 18, dia sangat bersyukur apabila menerima perkhabaran ditawarkan dermasiswa bagi melanjutkan pengajian ke Universiti Automotif DRB-Hicom.
Dia yang kini bekerja bagi membantu keluarganya berhasrat untuk menyambung pengajiannya ke peringkat tertinggi.
“Dengan tajaan yang diterima ini saya lebih berkeyakinan untuk belajar bersungguh-sungguh untuk memhantu keluarga saya,” katanya.
Dua lagi penerima iaitu Muhammad Syabiel Tajul Mulok tidak dapat hadir manakala Zulhilmie Iman Zulsafree pula diwakili bapanya.
Kesemua mereka menerima tajaan berjumlah RM42,000 seorang bagi menampung pengajian diploma selama dua tahun setengah merangkumi yuran pengajian, yuran peperiksaan, asrama dan elaun sara diri.
Universiti Automotif DRB-Hicom telah membelanjakan RM5.46 juita bagi dermasiswa yang menaja keseluruhan yuran pengajian kepada 130 pelajar dan telah memasuki tahun kedua perlaksanaannya. – PAHANGMEDIA