Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 24 SEPTEMBER 2021 : Jalan sedia ada di Felda Terapai ke Felda Mayam sepanjang 13.65 kilometer akan dinaiktarafkan pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, ini bagi menyediakan jaringan jalan raya yang selamat dan selesa kepada pengguna.
Beliau berkata, projek penaiktarafan jalan ini dijangka bermula pada Februari tahun hadapan dan dijangka selesai pada 2025 melibatkan kos sebanyak RM85 juta.
“Kos bagi projek ini dilihat agak besar kerana ia membabitkan pemotongan cerun dan beberapa jambatan untuk mengatasi masalah banjir yang sering dihadapi di kawasan ini hampir setiap tahun.

“Saya percaya dengan adanya jalan ini nanti, ini akan dapat meningkatkan accessibility antara Daerah Pekan, Maran, dengan Daerah Bera.
“Walaupun jumlahnya agak besar, namun kepentingannya memang satu perkara yang sangat penting kerana alternative road yang ada jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas sesi taklimat projek di Felda Terapai 1, di sini yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Mohd Sharim Md Zain.
Beliau berkata, penaiktarafan jalan ini juga dapat memendekkan tempoh perjalanan para pengguna.
“Kalau sebelum ini dari Pekan ke Bera akan mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan tapi dengan jalan baharu ini ia dapat dikurangkan kepada hampir dua jam sahaja,” katanya.
Menurut ADN Chini, penaiktarafan jalan ini merupakan satu manfaat yang baik kepada penduduk di sekitar kawasan ini.
“Ini merupakan satu manfaat yang baik sebagai penghubung antara Daerah Bera dengan Daerah Pekan.
“Saya selaku ADN Chini, akan memastikan projek menaiktaraf jalan pintas ini dapat disiapkan dan memberi manfaat kepada masyarakat khususnya di Dewan Negeri Chini kerana jalan pintas ini telah digunakan sejak 1995 lagi,” katanya.
Pembinaan keseluruhan jalan pintasan bermula dari Kuala Mentiga, Pekan ke Felda Mayam, Bera ini turut melibatkan tiga jambatan baharu iaitu di Sungai Tereuk, Sungai Penerung, dan Sungai Anak Terapai dan turapan di satu jambatan sedia ada iaitu di Sungai Bayung.
Projek ini juga akan menaiktaraf jalan tanah, laterit, konkrit, berturap kepada jalan berturap sepanjang 16 kilometer. -PAHANGMEDIA