Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 24 SEPTEMBER 2021 : Pihak polis telah menamatkan sekatan jalan raya antara daerah di negeri ini bermula tengah malam tadi.
Ketua Polis Pahang, YDH CP Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dalam satu kenyataan media berkata ini berikutan negeri Pahang telah beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negera (PPN).
“Berkuatkuasa 24 September 2021, Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Negeri Pahang beralih dari Fasa Dua kepada Fasa Tiga.
“Sekatan jalan raya (SJR) antara daerah di dalam negeri Pahang telah ditamatkan pada jam 12.00 tengah malam dan pergerakan antara daerah adalah dibenarkan,” katanya.
Beliau turut berharap masyarakat di negeri ini kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yabg telah ditetapkan dengan peralihan fasa ini.
“Justeru, adalah diharapkan agar masyarakat di negeri Pahang sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), usaha dan tanggungjawab bersama mampu untuk mencegah penularan pandemik ini dari terus berleluasa,” katanya. -PAHANGMEDIA