Oleh : Shazli Sufi Che Unik
Foto: Muhammad Muslimi Abd. Rahim
KUANTAN, 21 SEPTEMBER 2021: Pasangan kembar menyifatkan giliran menerima vaksin dos pertama COVID-19 di di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Wisma Belia di Kuantan adalah sangat istimewa bagi mereka.
Dua beradik Tengku Syasya Darwina Tengku Sabaring dan Tengku Syasya Qistina berusia 18 tahun mengenakan pakaian berwarna sedondon itu jelas teruja apabila mengetahui program vaksinasi COVID-19 dibuka kepada remaja.
Menurut Tengku Syasya Qistina, mereka sangat teruja untuk menerima vaksin sejak dari Mac yang lalu, selepas mengetahui ada pendaftaran program vaksinasi secara walk-in dibuka.
“Kami sangat teruja, tapi sedikit gementar untuk menerima suntikan vaksin, mujur lah saya bersama adik kembar dapat janji temu hari sama,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas menerima suntikan dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Wisma Belia.

Mereka juga berharap remaja yang masih teragak-agak atau masih takut untuk menerima vaksin untuk segera mengambil vaksin kerana melihat kes jangkitan yang makin tinggi dan vaksin ini sebagai satu ikhtiar untuk menjaga diri sendiri dan keluarga.
Katanya, dengan pengambilan vaksin tersebut bukan sahaja dapat melindungi diri dan keluarga, malah dapat mengelakkan diri daripada menjadi penyebab penyebaran virus COVID-19 kepada orang sekitar dan tidak menyusahkan orang lain kelak.
Sementara itu, ibu mereka, Puan Rosliza Mustafa, 51, beliau menzahirkan perasaan lega apabila kedua-dua anaknya sudah menerima suntikan vaksinasi yang mana pendaftarannya dibuka secara walk-in.
Beliau sendiri yang sudah lengkap menerima vaksinasi COVID-19 menyeru kepada semua ibu bapa agar memberikan sokongan kepada anak anak untuk menerima vaksin secara percuma yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. – PAHANGMEDIA