Oleh : Shazli Sufi Che Unik
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim
KUANTAN, 20 SEPTEMBER 2021: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada golongan remaja yang berusia 12 hingga 18 tahun di negeri ini yang bermula hari ini disambut baik dan positif oleh golongan berkenaan.
Ia adalah hasil tinjauan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mahkota di sini.

Beliau berkata, daripada reaksi pelajar yang menerima vaksin pada hari ini, rata-ratanya mereka maklum balas positif positif terhadap usaha yang dilaksanakan kerajaan ini.
“Mereka juga dilihat berani dan kebanyakan mereka tidak sabar untuk kembali ke sekolah bagi mendapatkan sesi pembelajaran secara bersemuka,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang.
Katanya lagi, hari ini bermula progam vaksinasi untuk remaja tingkatan 4 dan 5 di Negeri Pahang dan sebanyak sembilan PPV dibuka bagi Daerah Kuantan.

Sementara itu, menurut Ahmad Isyraf Ahmad Ramzan, beliau agak teruja apabila dimaklumkan akan menerima suntikan vaksin kerana sudah lama menanti panggilan untuk menerima suntikan.
“Saya juga berharap agar program vaksinasi ini dapat mempercepatkan pembukaan sekolah kelak supaya pelajar sepertinya dapat belajar disekolah seperti sedia kala,” katanya,
Selain itu, Nur Atikah Aqilah Mohammad, berkata beliau gembira dan teruja untuk menerima vaksin walaupun pada awalnya berdebar tetapi setelah menerima suntikan dos vaksin tersebut
“Saya berharap usaha ini dapat memberikan peluang untuk pelajar untuk kembali belajar di sekolah secara besemuka kelak,” katanya. – PAHANGMEDIA