KUANTAN, 11 SEPTEMBER 2021: Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Negeri Pahang memuji dan menyambut baik keputusan Kerajaan Pahang menubuhkan Jawatankuasa Ombudsman Negeri Pahang (JONP) bagi memperkukuhkan lagi kualiti pengurusan aduan berkaitan integriti dalam urusan penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.
Presiden YARM, Encik Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, Pahang merupakan negeri terkedepan selepas Sarawak dalam tadbir urus baik atau good governance, membangunkan kapasiti integriti dalam pentadbiran.

“Penubuhan jawatankuasa ini dilihat mampu melonjakkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap tadbir urus Kerajaan Negeri terutamanya melibatkan isu alam sekitar, penyampaian perkhidmatan awam dan selaras dengan matlamat sasaran Environmental, Social & Governance (ESG),” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, ia dapat mengelakkan isu favouritism dalam jabatan kerajaan dan tindakan dilakukan secara without fear dan favour.
“YARM Pahang turut menggesa agar jawatankuasa ini turut dilibaturuskan bersama golongan professional dan generasi muda agar dapat disinergikan demi kepentingan bersama.
“Semoga perjuangan istiqamah ini menambah nilai dan menyumbang kepada perubahan persepsi negara dalam lndeks Tanggapan Korupsi (CPI),” katanya.
Kerajaan Negeri menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada Rabu lalu bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Ombudsman Negeri Pahang (JONP) bagi memperkukuhkan lagi kualiti pengurusan aduan berkaitan integriti dalam urusan penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan ismail berkata, JONP akan dipengerusikan oleh Ahli MMK Negeri, YB Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak dan keahliannya terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri; Penasihat Undang-Undang Negeri; Pengarah Jabatan Audit Negara Negeri; Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri; Ketua Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri dan Ketua Unit Audit Dalam Pejabat SUK Negeri.
Jelasnya lagi, Unit Integriti Pejabat SUK Negeri ialah urusetia kepada JONP dan ia akan mengadakan mesyuaratnya secara berkala bagi menangani isu-isu berkaitan yang di bawah bidang kuasanya. – PAHANGMEDIA