Oleh: Fairus Mohd
MARAN, 7 SEPTEMBER 2021 : Kerajaan Negeri Pahang terus menyalurkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) dan kali ini kepada penerima di Daerah Maran pula.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, seramai 60 orang penerima menerima sumbangan di Masjid As-Syakirin dengan jumlah sumbangan sebanyak RM6,900.
“Pada hari ini juga saya menyerahkan Inisiatif Pemberian Jubah kepada 38 pegawai masjid dan surau serta Bantuan Khas Kewangan kepada lima orang Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA) Negeri Pahang.
“Kesemua bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban dan menjadi tanda keprihatinan kerajaan negeri kepada setiap daripada mereka,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Seramai empat orang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 turut menerima inisiatif berbentuk wang tunai dari Kerajaan Negeri selain 13 orang pengusaha kantin dan dewan makan sekolah turut menerima BPP.
Pada majlis penyerahan pandu lalu itu beliau turut diiringi Ahli Dewan Undangan (ADN) Luit, YB Encik Mohd Sufian Abd Jalil dan Kadi Daerah Jengka, Ustaz Nik Ibrahim Nik Abdullah.
Sementara itu, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza berkata sumbangan ini walaupun kecil bagi sesetengah orang namun ia besar maknanya pada penerima.
“Ketika menjalankan tugas di masjid, mereka (imam, bilal dan siak) memang memakai jubah untuk solat sebagai pakaian untuk solat dan sebagainya.
“Bila dengan adanya ingatan dari Kerajaan Negeri khususnya YAB Menteri Besar memberi kain (jubah) yang sangat berkualiti ini saya kira ianya dapat menggembirakan hati mereka terutamanya ketika kita masih berada dalam keadaan pandemik,” katanya. -PAHANGMEDIA