YB Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (dua kiri) ketika menyampaikan sumbangan bakul makanan daripada Kerajaan Negeri kepada penerima yang terdiri daripada barisan hadapan di kawasan Dewan Negeri Kerdau.

PETUGAS BARISAN HADAPAN TERIMA BAKUL MAKANAN

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2021 : Petugas barisan hadapan di kawasan Dewan Negeri Kerdau menerima sumbangan bakul makanan daripada Kerajaan Pahang yang telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kerdau berkata, sumbangan tersebut sebagai penghargaan kepada petugas yang sentiasa membantu orang ramai dan pihak kerajaan sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

YB Dato’ Sri Syed Ibrahim (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima.

“Meski pun mereka merupakan petugas barisan hadapan di kawasan Dewan Negeri Kerdau, tetapi mereka antara yang paling terkemudian menerima sumbangan bakul makanan ini kerana mereka juga terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 ini.

“Kesemua petugas ini terdiri daripada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian dan ketua-ketua UMNO cawangan di kawasan DUN Kerdau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.

YB Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, barisan hadapan ini sentiasa bersama dengan kerajaan dalam membantu orang ramai termasuklah jiran tetangga tanpa mengira kaum.

Pada program sama turut disampaikan sumbangan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada Wanita dan Pemuda UMNO Dun Kerdau bagi memastikan aktiviti kebajikan dan penerangan berjalan lancar. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download