Lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato Zakaria Bin Ibrahim (tengah) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Piol,di Jerantut.

KERAJAAN NEGERI SASAR PAHANG CAPAI IMUNITI KELOMPOK MENJELANG 14 OKTOBER

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

JERANTUT, 5 SEPTEMBER 2021 : Kerajaan Pahang mensasarkan rakyat di negeri ini mencapai imuniti kelompok menjelang 14 Oktober sebelum tiba musim tengkujuh bagi mengelakkan rakyat terdedah dengan pelbagai penyakit jika banjir berlaku.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Zakaria Ibrahim berkata, sasaran tesebut hanya dapat dicapai sekiranya bekalan vaksin adalah mencukupi sebagaimana yang telah dijadualkan.

Gambar sekitar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Piol,di Jerantut.

“Kerajaan telah mengenalpasti lokasi-lokasi yang perlu dipercepatkan imuniti kelompok ini terutama dari segi kebolehcapaian ke lokasi berkenaan kerana kita bimbang keadaan bertambah sulit bagi program pemvaksinan ini sekiranya tiba musim tengkujuh nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika melakukan lawatan kerja ke Program Outreach Vaksinasi (POV) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Piol, Jerantut.

Program outreach selama tiga hari itu berjaya diberikan kepada 1,800 penduduk Felda Padang Piol sekali gus membentuk imuniti kelompok bagi Felda Padang Piol.

POV yang dilaksanakan di seluruh negeri ini bertujuan memudahkan penduduk di kawasan terpencil dan sukar diakses dari luar seperti di perkampungan Orang Asli untuk menerima vaksin selain memastikan tiada penolakan terhadap vaksin COVID-19.

Dato’ Zakaria turut menegaskan bahawa semua pihak termasuk Kerajaan Pahang dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) akan bekerja keras bagi memastikan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok di negeri ini pada 14 Oktober nanti dapat dicapai. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download