Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 03 SEPTEMBER 2021 : Pahang akan menerima 1.4 juta dos vaksin COVID-19 pada bulan ini menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dos yang akan diterima ini melibatkan penghantaran secara berperingkat.
“InsyaAllah bulan ini saya telah dijanjikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa Pahang akan mendapat 1.4 juta dos pelbagai, Cansino, Pfizer, Sinovac dan sebagainya.
“Vaksin ini akan dihantar secara berperingkat, mungkin tiga kali atau empat kali hantar, bukan sekali hantar 1.4 juta,” katanya.
Beliau berkata demkian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas akibat ribut pada Program Penyampaian Sumbangan Wang Ihsan Bencana Ribut Kepada Penduduk di Dewan Semai Bakti Felda Sungai Panching Utara, di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Paya Besar yang juga Timbalan Menteri Kewangan I , YB. Mohd Shahar Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching, YB. Encik Mohd Tarmizi Yahaya; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin; dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.
Beliau berkata, dengan jumlah dos vaksinasi yang akan tiba ini, Pahang akan mencapai sasaran penduduk yang telah divaksinkan kepada 60 peratus.
“Bermakna kalau 1.4 juta dos vaksin kita akan dapat, dan sekarang ini kita dah capai lebih 50 peratus yang dah dapat vaksin, pada bulan ini 60 peratus kita akan capai dengan mudah di negeri Pahang,” katanya.
Untuk rekod sebanyak 67.5 peratus penduduk di negeri ini telah menerima dos pertama vaksinasi dan 52.9 peratus lagi telah lengkap menerima dua dos vaksinasi COVID-19.
Namun demikian sebanyak 223,386 individu yang layak menerima suntikan vaksinasi masih belum mendaftar untuk menerima vaksin di negeri ini. -PAHANGMEDIA