Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin ketika menyampaikan bantuan secara pandu lalu kepada seorang penerima

KERAJAAN PAHANG SUMBANG RM74,050 PERUNTUKAN KHAS YAB MB DAN BANTUAN PRIHATIN PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 03 SEPTEMBER 2021 : Kerajaan Pahang menyumbangkan RM74,050 bagi Peruntukan Khas YAB Menteri Besar Pahang dan Bantuan Prihatin Pahang 2021 di Masjid Thoriq bin Ziyad, Kempadang.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata bantuan yang dijalankan secara pandu lalu ini melibatkan pelbagai kategori penerima.

“Sebanyak 709 helai jubah bernilai RM35,450 diserahkan sebagai inisiatif jubah kepada pegawai masjid dan surau di daerah ini.

“Kita juga menyampaikan insentif kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 melibatkan 46 pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di daerah ini berjumlah RM34,800,” katanya.

Beliau berkata selain itu, pihaknya juga turut menyampaikan bantuan berkenaan kepada pengusaha di kantin SMAN dan penggerak masyarakat Orang Asli.

“Kita juga beri bantuan prihatin kepada pekerja dan pengusaha kantin serta dewan makan asrama SMAN kepada seramai 13 penerima melibatkan bantuan sebanyak RM1,300.

“Selain itu, kita juga beri bantuan khas kewangan kepada Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA) seramai lima orang bernilai RM2,500,” katanya.

Beliau mengharapkan bantuan yang disumbangkan oleh Kerajaan Pahang ini sedikit sebanyak dapat membantu para penerima dan memudahkan pengurusan pihak berkenaan. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download