Alya Nur Izzah Sharuddin, 18, menerima sumbangan Bantuan Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) daripada YAB Menteri Besar, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

PELAJAR CEMERLANG HARGAI SUMBANGAN KERAJAAN PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
 
KUANTAN, 2 SEPTEMBER 2021 : Seramai 20 pelajar cemerlang yang menerima sumbangan biasiswa dan wang pendahuluan bagi menyambung pengajian ke Universiti Yarmouk, Jordan menzahirkan rasa penghargaan terhadap sumbangan oleh Kerajaan Pahang.

Fikri Haziq Husaidi

Seorang pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Syariah (Ekonomi dan Perbankan Islam) kerjasama Kolej Yayasan Pahang (KYP) dengan Universiti Yarmouk, Jordan, Fikri Haziq Husaidi, sangat menghargai sumbangan wang pendahuluan berjumlah USD1,000 bagi meneruskan pengajian ke Universiti Yarmouk, Jordan dan kesemua 16 pelajar dianggarkan berlepas pada 26 September depan.
 
“Alhamdulillah kali ini kami 16 orang pelajar dan saya merupakan wakil berkesempatan untuk menyambung pelajaran ke sana dan saya berterima kasih kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan juga Yayasan Pahang atas wang pendahuluan yang diberikan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Penyampaian Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) Pahang 2021, Wakil Pelajar Program KYP-Yarmouk dan Bantuan kepada Anggota Keselamatan (PDRM) di Wisma Sri Pahang, Kuantan.

Alya Nur Izzah Sharuddin


 Sementara itu, empat penerima BKMB turut menyatakan penghargaan tidak terhingga kerana terpilih untuk menerima biasiswa tersebut yang akan menaja keseluruhan pengajian seumur hidup yang terdiri daripada yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun komputer, elaun buku, elaun perkakasan dan elaun kertas projek / tesis.
 
Menurut Alya Nur Izzah Sharuddin, 18, berkata, beliau yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan berasa beruntung kerana terpilih sebagai penerima BKMB yang menaja sepenuhnya pembiayaan pendidikan sehingga ke peringkat tertinggi di dalam bidang perubatan.
 
“Insyaa Allah saya akan menggunakan biasiswa ini sebaik mungkin dan mendorong saya untuk terus berjaya dalam kehidupan,” katanya.

Muhammad Rahimi Sarifuddin


Bagi seorang pelajar cemerlang Orang Asli, Nur Maisarah Abdul Malik, 20, berpendapat bahawa biasiswa ini benar-benar dapat membantu menampung kos pengajiannya memandangkan beliau berlatarbelakangkan keluarga yang tidak berkemampuan.
 
“Bila dapat biasiswa ini saya akan gunakan sebaik mungkin sebab saya antara golongan orang susah untuk sambung belajar ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
 
Manakala Muhammad Rahimi Sarifuddin, 18, yang kini sedang melanjutkan pengajian asasi Sains Fizikal di Universiti Malaysa (UM) pula berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang Sains Komputer.
 
“Perasaan saya sangat gembira kerana pertama kali memohon saya tidak berjaya tetapi selepas itu Yayasan Pahang sendiri menghubungi saya memaklumkan bahawa saya diterima untuk biasiswa ini dan saya sangat berterima kasih kepada Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dan pihak Yayasan Pahang kerana memilih saya untuk menerima biasiswa ini,” katanya.

Muhammad Saifullah Fitri Muhamad Sufian


Bagi Muhammad Saifullah Fitri Muhamad Sufian, 18, cita-citanya untuk menyambung pengajian tertinggi di dalam bidang perubatan bukanlah perkara mudah.
 
“Saya rasa sangat bersyukur sebab saya datang bukan dari keluarga yang senang dan saya bercita-cita untuk sambung belajar dalam bidang perubatan sehingga peringkat tertinggi jadi bukan mudahlah bagi saya,” katanya.
 
Kesemua mereka telah menerima sumbangan daripada Yayasan Pahang tersebut daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
 
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Mahmud Mohd Nawawi dan Ketua Polis Pahang, YDH. CP Datuk Ramli Mohamed Yoosuf. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download