BERHATI-HATI KETIKA MELALUI JALAN BATU BALIK – POLIS

Oleh : Fairus Mohd

PEKAN, 1 SEPTEMBER 2021 : Pengguna jalan raya diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika melalui Jalan Batu Balik di sini berikutan peningkatan statistik kemalangan di jalan berkenaan sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, sebanyak 11 kejadian kemalangan termasuk satu kemalangan maut berlaku di sepanjang kilometer 20 hingga 27.

Jelasnya, statistik kemalangan agak tinggi dicatatkan terutamanya di sepanjang dua kilometer Jalan Batu Balik yang masih dalam proses naik taraf dan penyelenggaraan.

“Statistik kemalangan di jalan dua hala tersebut dicatatkan bermula Julai hingga Ogos di mana kes kemalangan maut melibatkan sebuah ambulan yang membawa pesakit telah hilang kawalan lalu terbaik dan terbabas ke longkang sebelah kiri jalan.

“Sepuluh lagi kes ialah kemalangan melibatkan kenderaan rosak akibat langgar belakang dan terbabas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin

Beliau berkata, beberapa faktor dikesan menjadi punca walaupun langkah keselamatan semasa kerja-kerja penyelenggaraan telah dilakukan pihak pengurusan Roadcare.

“Keadaan jalan yang sedang diselenggara sememangnya mewujudkan situasi bahaya jika pengguna jalan tersebut tidak lebih peka ketika memandu.

“Kita juga mengesan sikap pemandu yang memandu dengan laju di kawasan jalan berbatu kasaran selain kehadiran haiwan ternakan mahupun haiwan liar di kawasan kampung-kampung sepanjang jalan,” katanya.

Katanya lagi, pihak polis ingin menasihatkan setiap pengguna khususnya yang melalui jalan Pekan-Batu Balik agar sentiasa berhati-hati semasa memandu di atas jalan yang sedang dinaiktaraf atau diselenggara.

“Sikap berhati-hati dapat mengelak dan mengurangkan kemalangan jalan raya di kawasan ini seterusnya menjadikan ia sebagai sebuah laluan selamat bagi semua pengguna,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download