PAHANG TUNJUK TREND PENURUNAN KES POSITIF COVID-19

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 30 OGOS 2021 : Negeri ini menunjukkan trend penurunan kes positif COVID-19 melibatkan kumulatif mingguan dan purata seminggu kes harian.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus dalam satu kenyataan di laman sosial milik beliau berkata, trend penurunan ini adalah kali pertama dalam tempoh sembilan minggu.

“Hari ini (semalam) Pahang melaporkan seramai 839 kes baru, agak tinggi. Namun begitu, jika kita melihat trend kumulitif mingguan dan purata seminggu kes harian Pahang kita dapati ada menunjukkan penurunan. Trend penurunan ini pertama dilihat dalam tempoh 9 minggu.

“Kita harapkan trend yang baik ini berkekalan dan meningkatkan lagi usaha-usaha kita semua untuk mencapai kemenangan,” katanya.

Menurut hantaran beliau, trend penurunan ini dilihat seiring dengan peningkatan liputan vaksinasi di negeri ini dimana seramai 50.1 peratus golongan dewasa di Pahang telah menerima dua dos suntikan.

“Namun kita masih ada seramai 20 peratus atau lebih 235,000 penduduk Pahang yang layak disuntik belum berdaftar dalam MySejahtera,” katanya.

Beliau juga turut menyeru orang ramai di negeri ini untuk segera mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksinasi COVID-19.

“Ayuh warga Pahang. Daftar segera untuk mendapatkan vaksin. Mendapat suntikan vaksin adalah salah satu usaha dan ikhtiar kita untuk mengawal COVID-19. Sesungguhnya Allah jua Maha Penyembuh tapi kita mesti berusaha untuk kesembuhan itu,” katanya.

Sebanyak 1,175,800 penduduk berusia 18 tahun ke atas di negeri ini layak untuk menerima suntikan vaksinasi COVID-19 daripada 1,678,700 penduduk di Pahang keseluruhannya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download