Oleh : Shazli Sufi Che Unik
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 29 OGOS 2021: Keputusan Kerajaan Negeri untuk menanggung kos bagi kerja-kerja pengurusan pengebumian mangsa wabak pandemik COVID-19 di negeri ini telah dibuat sebelum Sidang Dewan Negeri berlangsung baru-baru ini.
Malah keputusan itu juga dilaksanakan oleh Kerajaan Pahang sejak awal lagi termasuk melibatkan mangsa daripada kaum lain bukan Melayu sahaja tanpa desakan daripada mana-mana pihak termasuk pihak pembangkang di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa menjaga kebajikan mangsa COVID-19 yang diuji dengan kematian tanpa mengira bangsa.
“Bantuan telah diluluskan oleh YAB Menteri Besar sejak awal bulan Ogos lagi kerana melihat kepada tanggungan kos menguruskan jenazah mangsa COVID-19 yang mencecah sehingga RM2,000.
“Malah YAB Menteri Besar juga telah bersetuju untuk mewujudkan sebuah tabung khas berkaitan pengurusan jenazah COVID-19,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan Ahli Dewan Negeri Sabai, YB. Puan Kamache A Doray Rajoo yang kononnya beliau yang memohon kepada YAB Menteri Besar untuk meluluskan bantuan yang sama kepada bangsa lain.
YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, sebenarnya tidak timbul isu bantuan tersebut hanya diluluskan untuk kaum Melayu sahaja dan tidak kepada kaum lain seperti Cina dan India.
“Selagi mereka itu merupakan rakyat Pahang, maka kita akan bantu dengan mengikuti kos yang dituntut oleh bahagian pengurusan jenazah sehingga maksima RM2,000.
“Bagi jenazah yang beragama Islam, tuntutan boleh dibuat di Pejabat Agama Islam Daerah manakala bagi yang bukan beragama Islam boleh membuat tuntutan di Pejabat Daerah.
“Terkini sudah ada 30 tuntutan diterima dan pelbagai bantuan ini telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sejak awal lagi tanpa desakan daripada mana mana pihak,” katanya. – PAHANGMEDIA