Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob ketika penyerahan bakul makanan di Bera hari ini.

BUKA PPV DI KILANG MASING-MASING – PM

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

BERA, 28 OGOS 2021 : Semua pemilik kilang sudah diberitahu agar membuka pusat pemberian vaksin (PPV) dalam kawasan kilang masing-masing, kata Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

“Perkara ini adalah antara kaedah yang boleh dipertimbangkan selepas kita melihat apa berlaku di PPV (Stadium Nasional) Bukit Jalil baru-baru ini.

“Kilang-kilang yang mempunyai pekerja asing jadikan kilang mereka sebagai tempat pemberian vaksin jadi pekerja asing ni tak payah nak keluar nak beratur kat stadium. Selain itu kita juga mencadangkan pemilik kilang beli sendiri vaksin kerana apabila 80 peratus pekerja mereka sudah lengkap dua dos, kilang itu boleh dibenarkan beroperasi,” katanya.

Hal yang sama turut disuarakan kepada pemilik rangkaian restoran atau perniagaan yang mahu kembali beroperasi tetapi perlu memenuhi syarat lengkap dua dos suntikan vaksin. katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas menyaksikan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kampung Batu Bor, di sini hari ini.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan KSU Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan berkenaan kajian yang sedang dilakukan bagi menyediakan pencen secara prorata kepada semua pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sudah menamatkan perkhidmatan mereka.

“Perkara ini masih dalam peringkat kajian dan kita harap dapat menawarkan skim pencen bersesuaian kepada pegawai dan anggota yang tidak lagi berkhidmat.

“Buat masa ini, kebajikan bekas pegawai dan anggota ATM diuruskan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEVATM), dan melalui skim sebelum ini, kalau mereka berhenti sebelum cukup tempoh ditetapkan, mereka tidak menerima pencen,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download