Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
BERA, 28 OGOS 2021 : Hanya Kementerian Kesihatan Malaysia yang akan diberi tanggungjawab untuk menguruskan vaksin berbanding melibatkan dua kementerian sebelum ini.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian berkaitan.
“Selepas ini hanya satu kementerian sahaja yg akan handle vaksin iaitu Kementerian Kesihatan, kalau dulu ada dua Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dipengerusikan oleh dua menteri, dua KSU. Jadi agak sukar.
“Kementerian (MOSTI) akan diberi peranan melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan vaksin sendiri seperti yang dilakukan negara Thailand,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pertukaran portfolio antara YB. Khairy Jamaluddin dan YB. Datuk Seri Adham Baba selepas pengumuman barisan kabinet semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas menyaksikan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Kampung Batu Bor, di sini hari ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai cadangan mewajibkan pengambilan suntikan vaksin dalam kalangan penjawat awam, beliau berkata perkara itu belum lagi diputuskan dan setakat ini belum ada keperluan untuk mewajibkan suntikan vaksin kepada semua penjawat awam.
“Tapi, kalau masih ramai (penjawat awam) belum mengambil vaksin, Kerajaan mungkin mewajibkan pengambilan vaksin pada masa akan datang kerana ini adalah untuk memastikan keselamatan bukan sahaja penjawat awam itu sendiri, tetapi juga orang ramai,” katanya. – PAHANGMEDIA