Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin ketika Program Penyampaian Jalur Gemilang dan Food Basket Kepada Peniaga Di Sungai Isap di Tapak Niaga Sungai Isap di Kuantan.

MBK DAFTAR 11,000 PENIAGA BAWAH PROGRAM MOVAK UNTUK SUNTIKAN VAKSIN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 28 OGOS 2021 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah mendaftarkan 11,000 peniaga dan penjaja bagi penerimaan suntikan vaksinasi COVID-19 di daerah ini melalui Program Mobalisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata pihaknya telah menyerahkan senarai ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertanggungjawab ke atas program MOVAK ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin ketika Program Penyampaian Jalur Gemilang dan Food Basket Kepada Peniaga Di Sungai Isap di Tapak Niaga Sungai Isap di Kuantan

“Dah hampir empat bulan yang lalu kita telah kumpul semua nama-nama ini. Dan kita sentiasa memperkemaskan data-data tersebut dari masa ke masa kerana walaupun kita collect nama tapi mereka juga telah berdaftar dengan MySejahtera dan ada di antara mereka yang telah dipanggil.

“Dan ini tidak menjadi masalah kepada kami kerana melalui rekod MySejahtera itu kita akan buat arrangement semula dan akan teliti supaya tidak ada overlapping.

“Sehingga kini kita dimaklumkan dalam 10 peratus dah terima vaksin daripada nama-nama yang kita collect melibatkan peniaga, penjaja di semua pasar-pasar awam, pasar tani, pasar pagi, car boot sales, dan banyak lagi dari semua peringkat,” katanya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Penyampaian Jalur Gemilang dan Food Basket Kepada Peniaga Di Sungai Isap di Tapak Niaga Sungai Isap di sini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah MBK, YH. Dato’ Zaitun Mat dan Penyelaras Dewan Negeri (DN) Teruntum, YH. Dato’ Sri Ab. Hamid Nazahar.

Beliau berkata pihaknya juga bercadang untuk menjadikan Terminal Sentral Kuantan (TSK) sebagai pusat bagi program MOVAK ini.

“Namun sehingga kini pihak KPKT sedang lagi berusaha untuk mendapatkan vaksin dengan MOSTI. Dan saya sendiri pun baru sahaja lagi berhubung dengan Ketua Pengarah iaitu YB. Dato’ Ehsan dan beliau juga mengharapkan bekalan vaksin tersebut dapat disegerakan.

“InsyaAllah bila bekalan vaksin ini kita telah terima, kita akan segera laksanakannya. Dan pusat bagi program MOVAK ini kita akan laksanakan di TSK,” katanya.

Menurut beliau lagi, sebanyak lima tapak jaja telah diberikan kebenaran beroperasi setakat ini dengan syarat-syarat yang ketat.

“Pada peringkat awal ini, ada lima tapak jaja yang dibenarkan, dan kini syarat kita hanya membenarkan 50 peratus daripada jumlah peniaga dari syarat asal dan hanya melibatkan penjualan makanan berbanding dulu.

“Dari segi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pula kita ada pemantauan dari pasukan task force, oleh MBK sendiri, dan juga daripada penganjur,” katanya.

Beliau mengharapkan semua pihak sama ada peniaga mahupun pelanggan untuk mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan dan menjaga kebersihan kawasan tapak jaja. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download