Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 25 OGOS 2021 : Ahli Dewan Negeri (ADN) diseru supaya menjunjung lima Prinsip Rukun Negara bagi mencapai politik matang yang menjadi teras kepada perpaduan.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, setiap daripada Ahli Dewan perlu menghayati prinsip tersebut bagi melahirkan politik matang sebelum dapat membimbing rakyat erti perpaduan.
“Saya ingin mengingatkan kepada semua pemimpin dan juga semua Ahli Dewan untuk kita memainkan peranan masing-masing untuk kita membimbing rakyat di Kawasan masing-masing menerapkan erti perpaduan dan menghayati serta menjiwai prinsip Rukun Negara ini.
“Dan akhir-akhir ini kita tengok bagaimana anak muda, generasi muda begitu berani, begitu biadap sekali mengkritik institusi diraja dan saya kira ini semua tidak boleh kita biarkan dan ini semua menjadi tanggungjawab kita, Ahli Dewan yang mulia ini, untuk mempertahankan institusi diraja dan untuk kita membimbing anak-anak muda kita, generasi kita hari ini untuk memahami apakah pentingnya institusi diraja dalam negara yang kita cintai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menyentuh isu kebajikan, beliau berkata, Kerajaan Pahang telah mengumumkan berbagai bentuk bantuan di dalam jumlah yang besar menerusi pelbagai saluran dan program yang dilaksanakan sejak negeri ini berhadapan pandemik COVID-19 sejak tahun lalu.
Kerajaan negeri mengamalkan kaedah cari dan bantu bagi memastikan setiap rakyat yang terkesan dapat menerima bantuan yang diberikan oleh kerajaan.
Selain memberikan bantuan, kerajaan negeri juga kini giat mengesan anak-anak yang menjadi yatim piatu akibat kehilangan ibu bapa akibat dijangkiti COVID-19 bagi menyalurkan bantuan khusus kepada mereka selain memastikan kebajikan Pendidikan mereka tidak terabai.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabai, YB. Kamache Doray Rajoo turut menyatakan keterujaan terhadap inisiatif kerajaan negeri dan bersedia bekerjasama dalam usaha membantu rakyat demi mewujudkan politik matang.
YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza turut berkongsi sambutan Hari Wanita Kebangsaan yang diraikan bertepatan dengan hari penubuhan Kaum Ibu UMNO pada tahun 1949 di mana martabat kaum wanita diangkat sehingga ke hari ini dengan menjawat pelbagai jawatan penting negara.
Kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan sebanyak RM2.5 juta menerusi Majlis Pembangunan Wanita Negeri sebagai bukti sokongan kerajaan terhadap kaum wanita untuk memperkasa peranan mereka. – PAHANGMEDIA