Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Muadzam Shah, YB. Tuan Ir. Razali Kassim semasa sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI: KERAJAAN PAHANG LEPASKAN 635,850 BENIH UDANG GALAH KE PERAIRAN SEKITAR ROMPIN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 25 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang melalui Jabatan Perikanan Negeri Pahang telah mengadakan pelepasan benih udang galah sebanyak 635,850 ekor ke perairan sungai sekitar di Daerah Rompin.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak berkata, pelepasan ini bertujuan menjaga kelestarian spesis berkenaan.

“Kerajaan Pahang melalui Jabatan Perikanan Negeri Pahang menyedari tentang potensi daerah Rompin yang terkenal dengan hasil perikanan iaitu udang galah.

“Program pelepasan benih ikan dan udang galah yang dilaksanakan bertujuan untuk memulihara dan meningkatkan stok ikan dan udang tersebut, justeru dapat meningkatkan juga sumber pendapatan komuniti nelayan darat atau nelayan sungai setempat.

“Pada tahun 2019 hingga 2021, sebanyak 635,850 ekor benih ikan dan udang galah telah pun dilepaskan di Sungai Rompin iaitu di beberapa lokasi seperti Kampung Gading, Kampung Anak Endau dan Kampung Seriti,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Muadzam Shah, YB. Tuan Ir. Razali Kassim semasa sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

ADN Muadzam Shah sebelum ini mengajukan soalan berkenaan potensi menjadikan aktiviti melibatkan udang galah di daerah Rompin bagi menarik pelancong luar untuk datang ke daerah tersebut dan rancangan mewujudkan santuari udang galah secara semulajadi di Sungai Rompin.

Beliau berkata bagi Kerajaan Pahang akan mempertimbangkan cadangan untuk membina santuari udang galah di Rompin.

“Pada masa ini, pihak Jabatan Perikanan tidak bercadang mewujudkan santuari udang galah tetapi bersedia mempertimbangkannya setelah suatu kajian dijalankan kelak.

“Ini kerana santuari merupakan tempat perlindungan dan pembiakan sumber perikanan yang memerlukan komitmen bukan sahaja nelayan darat atau nelayan sungai setempat tetapi semua ahli dan peringkat dalam masyarakat supaya ia benar-benar dapat berfungsi,” katanya.

Menurut beliau lagi, satu kajian lanjut perlu dijalankan sekiranya santuari udang galah ini akan diwujudkan pada masa hadapan. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download