Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 24 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang telah melakukan beberapa penambahbaikan sebagaimana dicadangkan oleh UNESCO termasuklah menambah keluasan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini (TCRB).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin berkata, Kerajaan Negeri juga telah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja atau pun ‘Stop Work Order’ kepada semua aktiviti perlombongan pada 17 Mei 2021 dan masih berkuatkuasa sehingga ke hari ini.
“Buat masa sekarang kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sedang giat berusaha untuk memulihkan keadaan di Tasik Chini bagi mengelakkan sebarang pencemaran yang telah berlaku menjadi lebih teruk lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Ketari, YB. Puan Young Syefura Othman pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, pagi tadi.
Dalam pada itu, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar berkata, Jabatan Alam Sekitar turut membantu Kerajaan Negeri dengan menjalankan pemantauan kualiti air Tasik Chini di 15 stesen yang telah ditetapkan di seluruh kawasan Tasik Chini sejak tahun 2005 lagi.
Jelasnya, beberapa agensi lain yang terlibat dalam perlombongan dan pembalakan adalah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Jabatan Perhutanan.
Beliau berkata, bagi memastikan kawasan Rizab Tasik Chini terus terpelihara sebagai kawasan Rizab Biosfera, pihak Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Penguatkuasaan, Pemuliharaan dan Pemeliharaan Tasik Chini, Pahang yang dianggotai oleh 20 agensi antaranya Bahagian Perancang Ekonomi (BPEN), Jabatan Alam Sekitar (JAS), FELDA, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Badan Kawalselia Air Pahang dan Majlis Perbandaran Pekan.
Kerajaan Negeri juga turut menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Tasik Chini yang terdiri daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (Pahang), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pejabat Tanah dan Galian Pahang.
Kerajaan turut melaksanakan moratorium dengan menghentikan semua aktiviti perlombongan di sekitar Tasik Chini pada 17 Jun 2021 dan beberapa tindakan pencegahan turut diambil termasuklah pemantauan kualiti air Tasik Chini, penguatkuasaan arahan penyediaan laporan EIA, pewartaan rizab Hutan Simpan Chini (tambahan) dan memperluaskan Rizab Biosfera UNESCO. – PAHANGMEDIA