Oleh : Fansurina Addullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 24 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang telah membelanjakan sebanyak RM50 juta bagi membantu rakyat di negeri ini sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tahun lalu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM24.39 juta telah disalurkan pada PKP 1.0 menerusi lima fasa iaitu fasa 1 sebanyak RM15.39 juta, fasa 2 RM4.22 juta, fasa 3 RM2.34 juta, fasa 4 dengan RM614,750 dan fasa kelima pula adalah RM1.83 juta.
“Bagi PKP 2.0 pula, Kerajaan Pahang telah membelanjakan sebanyak RM9.65 juta dan PKP 3.0 pula sebanyak RM15.84 juta melibatkan dua fasa iaitu fasa 1 sebanyak RM9.65 juta dan fasa 2 melibatkan peruntukan RM6.19 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Kemayan, YB. Dato’ Mohd Fadil Osman pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Sementara itu, menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Muadzam Shah, YB. Ir. Razali Kassim, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) berjaya menyelesaikan sebanyak 142 aduan daripada jumlah 192 aduan yang diterima.
Beliau berkata, baki sebanyak 50 aduan lain yang masih belum diselesaikan kini dalam tindakan susulan oleh UPNP dan aduan yang diterima melibatkan aduan di bawah Kanun Tanah Negara 1965, Enakmen Mineral 2001, Akta Perhutanan Negara 1984 dan Enakmen Sumber Air 2007.
“Untuk makluman semua ahli Yang Berhormat, bagi aduan yang diterima, sekiranya didapati berlaku kesalahan di bawah kata dan enakmen yang disebutkan di atas, maka tindakan akan diambil meliputi prosedur serbuan, rampasan serta sitaan jentera atau mesin, siasatan, pengenaan kompaun dan tindakan pendakwaan terhadap pelaku kesalahan,” katanya. – PAHANGMEDIA