Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 23 OGOS 2021 : Negeri Pahang telah memenuhi tiga syarat utama untuk beralih ke Fasa Ketiga menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN).
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga kini syarat-syarat yang ditetapkan telah berjaya dipenuhi oleh pihak Kerajaan Negeri.
“Untuk beralih ke Fasa Ketiga, kita perlu memenuhi beberapa perkara antaranya kadar pemvaksinan telah mencapai 40 peratus, jumlah pesakit yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah rendah dan kadar jangkitan juga sangat rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur yang diadakan di Pekarangan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Ketua Polis Pahang, YH Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf, Datuk Bandar MBK, YH Dato’ Hamdan Hussin, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pahang, YBhg Tuan Haji Sabarudin Yeop Hamza dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pahang akan menerima sebanyak 580,000 dos vaksin lagi bagi program pemvaksinan yang giat dilaksanakan ketika ini.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri kini sedang mempertimbangkan pengoperasian semula pasar malam dan pasar bagi dalam masa terdekat.

“Kita juga dalam proses perbincangan untuk membuka pasar malam dan pasar pagi, InsyaaAllah saya percaya dalam masa sehari dua ini kerajaan negeri akan membuat pengisytiharan sama ada pasar malam dan pasar pagi bole dibuka atau pun tidak,” katanya.
Majlis pelancaran tersebut diadakan dalam suasana norma baharu menerusi gabungan antara fizikal dan maya bagi memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).
Beliau turut melepaskan sebanyak 20 kenderaan jabatan dan agensi kerajaan persekutuan dan negeri serta badan bukan kerajaan (NGO) yang mengibarkan Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing sebagai tanda sokongan terhadap Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021.
Antaranya adalah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (SUK), MBK, Bomba, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APMM), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Pos Malaysia dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). – PAHANGMEDIA