Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 23 OGOS 2021: Kawasan hutan simpanan kekal seluas 1.59 juta hektar di negeri ini diharap dapat ditambah seterusnya dapat memastikan Pahang kekal signifikan sebagai green lung Semenanjung Malaysia.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, keluasan Negeri Pahang hampir 3.6 juta hektar dan mempunyai peratusan kawasan hutan yang masih tinggi iaitu kira-kira 57 peratus dari keluasan negeri.
“Mengambil kira peratusan ini, Pahang merupakan penyumbang oksigen utama dan habitat bagi hidupan liar, flora dan fauna di Semenanjung Malaysia.
“Dalam hal ini saya menyokong ketegasan Kerajaan Negeri secara konsisten dalam aktiviti penguatkuasaan, sebagai contoh Operasi Lestari di Cameron Highlands serta membanteras gejala penerokaan tanah secara haram di negeri ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Baginda dalam titahnya menyampaikan ucapan tahniah kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang konsisten dalam melaksanakan setiap usaha.
“Saya berharap ia diteruskan ‘without fear or favour’, demi memastikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan dan alam sekitar di negeri ini berkekalan.
“Saya yakin dalam meluluskan apa jua pembangunan, kita mempunyai pelbagai SOP yang telah digariskan namun saya melihat aspek pemantauan dan penguatkuasaan kepada pelaksanaan SOP tersebut masih boleh ditambah baik,” titah baginda.
Baginda mengingatkan setiap jabatan dan agensi yang terlibat dengan penguatkuasaan agar menjalankan amanah dengan sebaik mungkin tanpa rasa takut dan gentar dengan cabaran dan dugaan yang mendatang.
“Saya menyeru kerajaan saya untuk memberikan lebih penekanan kepada pembangunan dan keperluan agensi dan jabatan yang berkaitan penguatkuasaan supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih cekap dan efisyen,” titahnya.
Dalam pada itu, baginda bertitah dalam soal untuk meningkatkan hasil, Kerajaan Negeri diseru agar berusaha sebaik mungkin mencari sumber alternatif baharu dan tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil bumi dan hutan semata-mata.
“Saya yakin Pahang juga boleh menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi tanpa perlu mengorbankan alam sekitar, hutan, flora dan fauna,” titah baginda. -PAHANGMEDIA